SOALAN: Saya sering bermusafir ke luar negara sama ada atas sebab kerja mahupun melancong. Bolehkah ustaz terangkan cara yang benar untuk solat di dalam kapal terbang? Tentang perihal menghadap kiblat dan berdiri di dalamnya?
JAWAPAN: Solat wajib didirikan bagi setiap Muslim walau dalam apa jua keadaan sekalipun kecuali dengan keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Bagi seorang musafir dia boleh menunaikan solat jamak dan qasar sebelum dia berlepas. Namun sekiranya belum masuk waktu ketika dia ingin berlepas maka dia boleh menjamakkan solatnya pada waktu solat kedua yang sering kita istilahkan sebagai jamak ta’khir. Adapun jika ketika dia berlepas masih belum masuk waktu zohor misalnya dan kemudian jarak tempoh masa penerbangannya tiba akan melebihi waktu solat asar iaitu maghrib atau isyak. Maka dia perlu menganggarkan waktu (zohor atau asar) dan perlu melakukan solat jamak di dalam kapal terbang tersebut.
Walaubagaimanapun jika dia berlepas sebelum maghrib dan dijangka tiba dalam waktu isyak maka dia boleh menunaikan solat secara jamak takhir iaitu setelah tiba di destinasi. Adapun pada solat subuh dia perlu solat seperti biasa kerana ia tidak termasuk dalam solat yang boleh dijamakkan. Bagaimana pula ingin mendirikannya? Terdapat berbagai-bagai kaedah dan pilihan yang boleh digunakan untuk mendirikan solat di dalam kapal terbang, bas, perahu, kapal selam, kapal laut, kapal angkasa dan sebagainya. Diriwayatkan daripada Jabir r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya (rahilah) ke arah timur. Apabila hendak mengerjakan solat (wajib) Baginda turun dari tunggangannya dan solat menghadap ke arah kiblat.
Mengenai persoalan menghadap kiblat, terdapat dua pandangan penting.
Pertama : Sekiranya mampu untuk menghadap kiblat sebagai contoh ada tempat yang luas untuk melakukan solat secara sempurna maka wajib untuk menghadap kiblat.
Kedua : Jika tidak mampu untuk menghadap kiblat kerana tempat yang terlalu sempit maka gugur tuntutan menghadap kiblat dan dibolehkan untuk menghadap arah perjalanan kenderaan.
Terakhirnya, adakah boleh solat dalam keadaan tidak berdiri? Umumnya adalah wajib untuk berdiri namun jika tidak mampu maka dibolehkan untuk dia bersolat dalam keadaan yang semampunya dia lakukan. Berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w : “Solatlah kamu dengan berdiri, jika kamu tidak mampu maka solatlah dengan duduk, jika kamu tidak mampu maka berbaringlah dengan mengiring.” (Riwayat Bukhari, Taqsir al-Solah no. 1117)